Adakah anda berminat untuk memulakan penternakan ikan talapia sendiri?
Ikan talapia ialah ikan yang mudah dijaga dan senang untuk dibiakkan.
Anda tidak perlu menjadi pakar untuk menternak ikan talapia ini tetapi memadai dengan mempunyai ilmu yang asas dengan perancangan yang betul.
Di Malaysia, ada beberapa usahawan yang berjaya di dalam penternakan ikan air tawar.
Ini menunjukkan bahawa ikan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri di kalangan warga Malaysia.
Selain daripada memasak sendiri ikan ini di rumah, ikan talapia juga mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran terutamanya di restoran makanan laut dan pasaraya.
Di dalam artikel ini, kami kongsikan 7 langkah untuk memulakan penternakan ikan talapia.
Langkah 1: Tentukan Matlamat & Sasaran Anda
Pertama sekali benda yang perlu dilakukan sebelum memulakan penternakan ikan talapia ialah menentukan matlamat dan sasaran yang ingin kita kecapi.
Ada orang yang hanya minat untuk menternak ikan talapia secara kecil-kecilan sahaja di belakang rumah.
Cukup untuk makan sendiri atau menjana pendapatan sampingan dengan menjual ikan talapia kepada jiran tetangga.
Ada juga yang berminat untuk membina kolam besar atau menternak ikan talapia di dalam tasik atau sungai dan menjual ikan tersebut kepada pasaraya besar atau pasar tani.
Jadi, sebelum kita bermula ada baiknya kita tentukan dahulu matlamat dan sasaran agar projek yang dijalankan nanti tidak berhenti di tengah jalan.
Langkah 2: Menyemak dan Meminta Kebenaran Pihak Berkuasa
Sebelum kita membeli peralatan untuk memulakan penternakan ikan talapia, ada baiknya jika kita membuat semakan dan meminta kebenaran dengan pihak berkuasa tempatan.
Mungkin ada pihak berkuasa tempatan mempunyai garis panduan tersendiri atau lesen untuk menternak ikan talapia ini sama ada di belakang rumah, di kolam atau di dalam tasik.
Jika kita ingin menjual ke pasaran tempatan, maka kita mungkin perlu mendaftarkan perniagaan terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Langkah 3: Membuat Rancangan Perbelanjaan
Luangkan masa untuk membuat rancangan perbelanjaan untuk penternakan ikan talapia kita nanti.
Ada beberapa soalan penting yang perlu anda sediakan jawapan. Antaranya ialah:
Berapakah anggaran modal yang kita perlukan untuk memulakan penternakan ikan air tawar ini dan berapa wang yang kita ada untuk dilaburkan?
Adakah kita perlu membeli peralatan seperti tangki, biofilter, aerator, jaring, makanan atau peralatan lain? Jika ya, di manakah kita nak mendapatnya?
Adakah kita berhasrat untuk membiak anak ikan talapia sendiri atau membeli anak ikan dengan usahawan lain? Jika ya, apakah jenis sistem pembiakan yang ingin kita gunakan?
Apakah yang akan kita lakukan andai kata ikan talapia kita sudah bersedia untuk dijual?
Dengan adanya rancangan ini, kita tidak akan mudah tersasar atau lari bajet ketika mengusahakan penternakan ikan talapia ini.
Langkah 4: Membangunkan Sistem Ternakan Talapia
Ikan talapia boleh dibiak dan diternak dengan pelbagai cara dan pelbagai jenis persekitaran.
Kita boleh menternak ikan talapia di dalam kolam, sangkar, tasik, tangki plastik dan banyak lagi.
Menternak ikan talapia di dalam kolam mungkin kaedah yang paling mudah dan jimat kerana kita boleh biarkan ikan memakan makanan semulajadi yang ada di dalam kolam tersebut.
Jika menternak di dalam tangki, kita mungkin perlu membeli sistem penternakan yang lengkap seperti sistem penapisan air, alat untuk menganalisis pH air dan lain-lain.
Adalah baik jika kita memulakan penternakan ikan talapia secara kecil-kecilan untuk mendapatkan pengalaman terlebih dahulu sebelum berkembang menjadi sistem yang lebih besar.
Langkah 5: Mendapatkan Benih Ikan Talapia
Selepas kita membangunkan tempat untuk penternakan ikan talapia, sekarang ialah masa untuk kita dapatkan benihnya.
Dapatkan benih ikan talapia yang sihat, berkualiti tinggi dan cepat membesar daripada pembekal yang mempunyai reputasi.
Biasanya benih ikan talapia yang dibeli ialah bersaiz antara 0.75 – 2 inci panjang.
Anda boleh mendapatkan benih ikan talapia ini dengan membelinya di syarikat High Tech Aquaculture yang terletak di Sungai Besar, Selangor atau syarikat pembekal yang lain.
Langkah 6: Fasa Tumbesaran
Ketika di dalam fasa tumbesaran ini, kita perlu memberi makanan yang mencukupi dan mengekalkan keadaan air yang menggalakkan tumbesaran.
Selain itu kita juga perlu membuat pemeriksaan ikan-ikan kita agar tidak mempunyai penyakit.
Ikan talapia selalunya mengambil masa 4 hingga ke 6 bulan untuk membesar dan sedia untuk dijual.
Langkah 7: Menuai Hasil
Selepas fasa tumbesaran, ikan talapia sudah sedia untuk dikutip atau dituai.
Tahniah!
Anda sudah boleh mula menjual ikan talapia yang anda ternak sebelum ini kepada jiran tetangga anda, promosi di dalam Facebook atau instagram ataupun menjualnya di pasar tani.
Penutup
Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda telah bersedia untuk menjadi penternak ikan talapia yang berjaya!
Bacaan lebih lanjut: Kelebihan Penternakan Ikan Air Tawar – Talapia