Asal usul ikan talapia Malaysia sebenarnya tidak diketahui kerana tiada maklumat khusus yang berjaya direkodkan.
Tetapi apa yang kami tahu selain daripada ikan keli, ikan talapia juga merupakan ikan yang popular untuk penternakan ikan air tawar di Malaysia.
Selain itu, ikan ini juga popular di negara luar seperti di Amerika Syarikat, China, Mesir, Indonesia dan banyak lagi.
Ada lebih daripada 100 spesis ikan talapia di dunia ketika ini tapi untuk artikel kali ini, jom kita lihat asal usul ikan talapia yang popular di Malaysia.
Ikan Talapia Hitam
Ikan talapia hitam atau nama lainnya talapia Nil (Oreochromis niloticus) ialah salah satu spesis ikan talapia yang popular di Malaysia.
Ikan ini pertama kali dijumpai di Malaysia sekitar tahun 1969 dan mudah didapati di dalam bendang sawah padi dan di dalam lombong.
Spesis ikan talapia hitam dipercayai berasal dari Sungai Nil dan telah dibuat sebagai penternakan ikan air tawar sejak 3000 tahun lalu oleh pemerintah kerajaan mesir purba.
Ikan talapia hitam banyak dicat pada dinding-dinding makam pemerintah Mesir dahulu kerana mereka percaya bahawa ikan ini akan membantu mereka ketika mati.
Ikan talapia hitam boleh membesar sehingga 24 inci panjang dan boleh hidup di dalam air tawar atau air payau.
Ikan Talapia Merah
Ikan talapia merah pula ialah ikan yang popular dijadikan sebagai penternakan ikan air tawar di Malaysia.
Ramai yang keliru nama spesis untuk ikan talapia merah ini kerana ada yang mengatakan spesis ikan ini ialah Oreochromis niloticus.
Namun daripada pembacaan yang dibuat, ikan ini merupakan ikan talapia jenis hybrid antara spesis Oreochromis aureus dan Oreochromis mossambicus.
Spesis ikan ini banyak dibuat hydbrid di negara luar contohnya seperti di Thailand, Vietnam dan China.
Ikan talapia merah mampu membesar sehingga 15 inci panjang dengan berat sehingga 4.5 kilogram.
Antara sebab ikan jenis ini popular untuk diternak di Malaysia ialah kerana ikan talapia merah mampu untuk membiak dengan pantas dengan penjagaan yang minima.
Selain itu, isi ikan talapia merah juga lebih sedap dan lembut berbanding isi ikan talapia hitam dan ikan talapia yang lain.
Ikan Talapia Biru
Ikan talapia biru yang juga dikenali sebagai ikan talapia Israel ialah ikan yang popular dan berasal dari negara Eropah.
Nama spesis ikan talapia biru ialah Oreochromis aureus dan ikan ini mampu hidup di dalam air tawar, air payau atau air masin.
Ikan talapia biru ini sifatnya seperti gengster iaitu agak garang dengan ikan-ikan lain dan boleh mengganggu ekosistem tasik dengan sifat invasifnya.
Ikan ini mampu membesar sehingga 18 inci panjang dan mudah dikenali dengan warna birunya.
Selain daripada dijadikan haiwan yang diternak di dalam kolam, ikan talapia biru juga popular untuk dijadikan sebagai ikan hiasan.